Blog

Syarikat utamakan ambil graduan baharu bekerja

News

Syarikat utamakan ambil graduan baharu bekerja

KUALA LUMPUR: Kebanyakan syarikat akan lebih mengutamakan pengambilan pekerja dalam kalangan graduan yang baru menamatkan pengajian dari universiti awam dan swasta pasca pandemik COVID-19.

Tinjauan yang dijalankan syarikat pengambilan siswazah, Talentbank, mendapati daripada 196 syarikat, 73.41 peratus memilih untuk mengambil graduan baharu manakala 21.97 peratus responden tidak pasti dan 4.62 peratus tidak berminat untuk mengambil pekerja.

Ketua Pegawai Eksekutif Talentbank, Ben Ho, berkata maklum balas daripada syarikat ini memberi gambaran prospek cerah sektor pekerjaan dalam kalangan graduan pada 2021.

Beliau berkata, 76.3 peratus responden pula optimis akan mengambil pekerja dalam kalangan graduan pada 2022 selepas ekonomi dijangka kembali pulih sepenuhnya.

“Ia berita baik untuk sektor pekerjaan di Malaysia yang berhadapan dengan ketidaktentuan disebabkan COVID-19 ketika ini. Banyak syarikat terpaksa mengambil langkah mengurangkan kos operasi yang mengakibatkan pengurangan pekerja.

“Ini juga bermakna bahawa universiti swasta dan awam di Malaysia menghasilkan graduan dengan kemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri,” katanya dalam satu kenyataan.

Kajian itu dijalankan terhadap syarikat pertengahan dan besar dengan 33.53 peratus adalah syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia.

Ho berkata, hasil tinjauan juga menunjukkan prospek pekerjaan dalam bidang perakaunan, pengurusan perniagaan, pemasaran, pengkomputeran dan teknologi maklumat, pengurusan sumber manusia, kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan elektrik dan elektronik, komunikasi massa, perbankan serta ekonomi.

Beliau berkata, gaji bulanan ditawarkan kepada graduan baharu ini di antara RM2,501 hingga RM3,000, manakala elaun tambahan purata RM1,000.

Katanya, kajian juga mendapati 91.91 peratus responden memilih sikap yang baik berbanding keputusan akademik sementara 8.09 peratus menekankan keputusan akademik berbanding sikap yang baik.

“Hasil ini menunjukkan permintaan yang semakin meningkat untuk bakat yang serba boleh, dapat memperoleh kemahiran baharu

dan memikul tanggungjawab baharu yang diberikan kepada mereka.

“Lima sumber pengambilan pekerja baharu yang menjadi pilihan majikan adalah melalui laman web pencarian kerja, halaman kerjaya syarikat, pameran kerjaya di universiti, media sosial dan pameran kerjaya,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Leave your thought here

School of Careers by Talentbank